Saturday, July 30, 2011

Diam Tanpa Kata

"Hello.. Hello.."
Talian terputus. Adi memandang nombor yang tertera di skrin iphonenya. Dahinya berkerut. Siapa agaknya yang telefon malam-malam begini. Nombor tak dikenali.

'Aah! salah nombor agaknya..' desus hatinya.

Tapi entah apa yang tak kena. Hatinya tetap tidak tenang selepas sejam panggilan tadi terputus.
Adi bersandar di bingkai katil. Matanya masih tertumpu pada nombor tadi.

Sejak sebulan lalu, Adi sering mendapat panggilan begitu. Setiap kali diangkat tiada jawapan. Setiap kali ditelefon semula, telefon telah pun dimatikan. Siapa? Kenapa?

Pelbagai persoalan menyelinap masuk ke ruang fikirannya.
Firasat hatinya berkata panggilan itu dari orang yang dikenali. Setiap kali panggilan seperti itu diterima, jiwanya menjadi kacau. Dia tidak faham. Setiap kali itu juga satu nama bermain-main dimindanya. Anis.

Mungkinkah itu Anis yang menelefon? Mungkinkah Anis ingin menyatakan sesuatu? Mungkinkah Anis perlukan aku?

"Aaaaaaaaaaaaaaaaargh!" Adi menekup mukanya dengan bantal.

Ternyata gadis itu tak mampu hilang dari ingatannya. Ternyata dia mengharapkan Anis yang menelefon. Seperti dulu. Dimana setiap malam, Anislah orang yang terakhir mengucapkan selamat malam kepadanya.
Dimanakah kamu Anis? Aku rindu kamu..

Malam itu, Adi tertidur dengan seribu persoalan tak terjawab.

                                                                             ********

"Lama tenung Handphone tu Nadia.. kenapa?" sergah Fatin.
"Erm.. Tak ada apalah.." Nadia masih memandang skrin handphonenya. Langsung tidak diendahkan kehadiran Fatin.
"Kalau macam gini.. Aku cakap dengan tembok pun best,"Fatin bersuara lagi.
Nadia tetap diam.
"Macam gini aku nak pergi kedai lah. Kau tenung je Handphone tu sampai aku balik," Fatin terus melangkah pergi meninggalkan Nadia sendirian.

'Siapa orang ni?' Masih lagi direnung nombor yang terpapar di skrin. Suaranya seperti kenal tapi Nadia tidak tahu siapa. Setiap kali ingin ditanya lidahnya menjadi kelu.

Setiap kali didail nombor itu, niatnya untuk tanya gerangan siapa milik nombor dalam Handphone itu tapi suara garau di talian itu membuatkan Nadia diam tanpa kata.

Hatinya berdegup kencang. Dia sendiri tidak faham. Lama dia memikir hingga otaknya terasa berdenyut. Sakit.

'Adi.. Siapa kamu? Kenapa aku rasa kamu pernah ada dalam hidupku. Kenapa aku rasa satu tika dulu aku pernah mengenalimu. Kenapa aku rasa aku kenal suara itu. Kenapa?'

Sakit kepalanya menjadi-jadi. Nadia cuba bertahan. Airmatanya mula berguguran. Dia rebah kebumi.

"Anis Nadia!" Fatin menjerit lalu berlari ke arah kawannya itu.

"Walau diam tanpa kata, Cinta tetap mampu memahami.. 
Walau ditinggal seribu tanda tanya, Cinta tetap tidak luput dari hati.."

No comments:

Post a Comment