Monday, August 15, 2011

Diari ♥

Aku membelek halaman di dalam buku berwarna merah itu. Satu persatu muka surat aku renung. Sebuah diari yang tercatit segala hasrat dihati dan tersimpan beberapa gambar kenangan. Kadang aku tersenyum kerana apa yang terluah satu tika dulu, kadang terasa sedih seperti kesedihan didalam tulisan itu. Setiap baris yang ada dalam buku itu sudah ku baca berkali-kali namun tak pernah sekali aku jemu.

Aku tatap lama barisan yang tertulis 'Jangan biarkanku sendiri.. Terkapar-kapar disini..
Lemas. Aku tak mahu merasakan itu lagi.. Tolong jangan pergi..Aku tak mahu tanpamu...' 


Bagaimanakah cinta mampu membuat orang rasa begitu sukar untuk hidup tanpa cinta itu? Terasa nafas bagai di hujung hela seakan diri lemas tak mampu berpijak di atas dunia.

'Aku tak mahu tanpamu... Aku tak mahu tanpamu..' bibirku membaca berkali-kali ayat terakhir di dalam diari itu.

Muka surat seterusnya semuanya kosong. Tiada lagi isi hati yang terluah. Tiada lagi ucapan rindu mahupun cemburu. Kosong. Aku tahu terlalu lama aku membiarkan buku itu tak tertulis. Namun aku tak mampu untuk mengisi garisan-garisan kosong itu dengan kata-kata cinta atau rindu setulus yang pernah tertulis di dalam buku itu. Bukan kerana tiada lagi cinta itu atau tiada lagi rasa rindu. Malah kerana terlalu rindulah aku membaca diari itu lagi berulang kali tapi untuk mengungkapkan rasa itu, aku tak mampu.

Aku menutup diari itu. Diari itu terlalu bermakna untukku dan akan ku jaga hingga akhir nafasku.

"Mungkin saya tak tahu menulis puisi cinta seperti awak tulis untuk saya, juga saya tak pandai meluahkan rasa seindah tulisan awak.. Tapi saya pun tak mahu tanpa awak.. Tak mahu tanpa awak.." aku berbisik dalam hati mengharap sang pemilik diari itu mampu mendengarnya.


"Ku tetap akan terus menggenggam tanganmu selagi kau masih menggenggam erat jemariku"

No comments:

Post a Comment